Friday, 1 November 2013

Cintaku Bukan Untuk Dijual - Bab 2

TANGAN Maya lincah mengaut lauk-pauk ke dalam pinggan. Selepas itu, dikautnya nasi dan disusun ke atas dulang. Tak menang tangan dibuatnya. Naik hairan juga Maya dan emaknya. Biasanya, orang-orang kenamaan ni akan tempah catering untuk majlis-majlis macam ni. Tetapi, berlainan pula dengan Puan Sri Midah. Dia lagi rela bersusah payah di dapur menolong pembantunya memasak dari menempah dari luar.
“Maya, dahlah tu. Mari makan dulu. Orang dah tak ramai pun. Kebanyakannya dah nak balik. Tinggal tiga empat orang aje lagi kat depan tu. Maya isi banyak-banyak lauk tu nak bagi siapa makan?” soal Kak Biah.
Maya menoleh. Dia memuncungkan mulutnya ke arah satu sudut. Kelihatan Nashriq sedang duduk berbual-bual dengan kawan baiknya di sofa itu.
“Alahai Kak Biah ni sibuklah. Encik Nashriq tak makan lagi tu. Maya kautkan semua lauk ni untuk dialah,” ujar Maya sambil tersenyum manis.
Beria-ria dia mengibas semua lauk itu dari dihurung lalat. Disusunnya pinggan-pinggan yang berisi lauk itu elok-elok di atas dulang. Mengalahkan nak menjamu putera raja pula gayanya. Bukan main cantik lagi.
Maya segera mengangkat dulang itu dan mengatur langkah dengan cermat ke arah Nashriq. Dari tadi tak lekang-lekang senyuman dari bibirnya. Kak Biah yang memerhati sedari tadi hanya menggelengkan kepalanya.
Tetapi, baru sahaja Maya hendak membuka mulut, kelihatan seorang perempuan muda dalam lingkungan 20-an memaut lengan Nashriq mesra. Nashriq kelihatan gembira melihat kehadiran gadis cantik itu di sisinya.
“Hei Feeda, bila sampai? Mak long dengan pak long ada sekali ke?” sapa Nashriq.
“Ada tu dekat luar, tengah borak dengan mak ngah dan pak ngah. Abang da makan? Jom teman Feeda makan. Feeda laparlah,” rengek Mufeeda.
Maya yang berdiri macam patung di belakang Nashriq itu menahan rasa hati apabila gadis itu memanggil Nashriq dengan panggilan ‘abang’.
Aduh, relaxlah Maya. Baru panggil abang, belum panggil sayang lagi. Kalau perempuan tu lebih-lebih, kau telungkup aje dulang ni atas kepala dia. Hehehe, sempat lagi akalnya berbicara.
“Feeda ajaklah Midi ni makan dulu. Dia pun baru sampai. Abang Riq makan sekejap lagi,” tolak Nashriq lembut sambil matanya dihalakan ke arah Hamidi. Hamidi menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan cadangan sahabatnya itu.
Faham benar dia dengan isyarat sahabatnya itu. Sengaja Nashriq menyuruh Hamidi makan bersama Mufeeda. Dia rimas apabila Mufeeda asyik menyendeng-nyendeng badannya dengan Nashriq. Umur dah 21 tahun, tapi perangai mengalahkan budak umur sepuluh tahun. Tak tahu malu langsung.
Mufeeda memuncung mulutnya. Merajuk dengan penolakan abang sepupunya itu.
“Tak naklah. Penat Feeda siap cantik-cantik ni, nak jumpa abang. Nak makan sekali dengan abang, tapi abang suruh Feeda makan dengan Midi pulak,”
Nashriq menggigit bibirnya. Serba-salah pulak dibuatnya.
“Iyelah, jomlah Abang Riq teman Feeda makan. Jom, Di,” ujar Nashriq. Hidung Mufeeda dicuit.
“Mengada adik abang sorang ni tau, manja betul. Asyik nak berkepit dengan Abang Riq aje.”
Mufeeda tersenyum manja. Tangannya menepis jari Nashriq.
“Alah, abang bukan selalu pun balik sini. Apa salahnya sekali sekala Feeda nak manja-manja dengan abang,” rengek Mufeeda.
Maya yang berdiri di belakang mereka itu mencebikkan bibirnya. Nak termuntah rasanya mendengar bicara Mufeeda itu. Maya mengaturkan langkahnya semula ke dapur apabila dia melihat mereka bertiga sudah bangun dari sofa.
“Eh, Maya. Banyaknya lauk, untuk siapa ni?” soal Hamidi dengan tiba-tiba.
Maya terkejut apabila lelaki itu sudah berdiri di hadapannya. Matanya dihalakan ke arah Nashriq.
“Err.. Maya bawak lauk ni untuk Encik Nashriq. Tadi, mak yang suruh bawakkan. Dia kata Encik Nashriq tak makan lagi,” balas Maya.
Dengan selamba, nama emaknya dipetik untuk menyelamatkan dirinya. Bukan apa, nanti  kalau dia bagitahu hal yang sebenarnya, mahu dia diketawakan. Punyalah nak ambil hati Nashriq, rela dia menatang dulang yang penuh dengan lauk-pauk itu. Bukan sedikit lauknya, bukan main banyak lagi.
“Oh, untuk aku ke Maya. Baguslah, letak kat meja tulah. Orang pun dah ramai balik ni, kita makan kat meja ajelah. Jom Maya, kita makan sekali,” pelawa Nashriq.
Baik pulak mood mamat ni ya, siang tadi kat depan sekolah bukan main garang lagi. Maya hanya mengangguk. Kembang hatinya apabila Nashriq sudi makan lauk-pauk yang dibawanya. Yang paling dia seronok sekali, makan semeja dengan lelaki pujaannya itu.
Hai Maya, memang rezeki kaulah malam ni nak tatap muka dia puas-puas. Tak makan pun tak apa, tengok muka cik abang sayang pun dah terasa kenyang, bisik Maya di dalam hati.
Hamidi turut melangkah ke ruang makan. Tetapi, berlainan pula dengan reaksi Mufeeda. Dia mencebikkan bibirnya tanda menyampah dengan kehadiran Maya di situ.
Baginya, Maya telah merosakkan moodnya untuk bermesra dengan abang sepupunya itu. Kalau dengan Hamidi dia tidak kisah lagi, tapi dia dapat merasakan seolah-olah Maya turut menyimpan perasaan kepada abang sepupunya.
Kalau tidak, takkanlah dia sanggup menatang dulang tu sampai ke depan ni. Yang Abang Riq ni pulak, melayan aje perempuan tak tahu malu tu. Eii geramnya! Bebel Mufeeda di dalam hati.
Alamak, baru cinta Maya nak berputik, ada pula batu penghalangnya. Harap-harap perempuan berhati syaitan ni tidak merancang yang bukan-bukanlah terhadap Maya. Kasihan Maya…
Nashriq yang menyedari Mufeeda masih tidak berganjak dari ruang tamu itu, lantas memanggilnya.
“Feeda, marilah makan. Tadi kata lapar sangat, kita makan kat sini ajelah okey. Makan ramai-ramai ni seronok tau.”
Mufeeda masih memeluk tubuhnya di situ. Masam mencuka wajahnya tanda protes dengan abang sepupunya itu. Maya yang perasan akan hal itu pun bersuara.
“Cik Feeda, marilah makan sekali. Banyak lauk ni. Tak terhabis rasanya kalau kami bertiga sahaja yang makan,” ujar Maya sambil tersenyum.
Nashriq dan Hamidi mengangguk tanda mengiakan kata-kata Maya itu. Mereka makan tanpa menghiraukan Mufeeda yang masih tercegat di ruang tamu itu.
Kau ingat lalu ke tekak aku ni nak makan mengadap kau, haishh Abang Riq ni pun satu. Ada ke makan sekali dengan orang gaji. Tak ada class langsung! Bisiknya.
Akhirnya dia menapak jua ke meja makan. Makin sakit hatinya apabila melihat Maya mengaut lauk-pauk ke dalam pinggan Nashriq.
Thanks, Maya,” ujar Nashriq. Maya sekadar mengangguk.
Mufeeda menjeling geram.
Nak tunjuk baiklah tu. Tak ada maknanya, kalau dah nama pun orang gaji, selamanya akan tertulis jugak kat dahi kau tu perkataan orang gaji. Jangan kau mimpilah nak goda Abang Riq tu. Kau bukan taste dialah!
Serasa ingin sahaja dilontarkan kata-kata itu terhadap Maya, tetapi mengenangkan Nashriq yang berada di situ, dibatalkan sahaja niatnya itu. Mufeeda mengambil tempat di sebelah Nashriq. Kerusinya sengaja dirapatkan. Wajah Maya dijeling dengan penuh perasaan benci.
“Bak sini nasi tu!” arahnya dengan kasar.
Maya tersentak.
Kenapa pulak minah ni nak tengking-tengking? Ah, buat tak tahu ajelah. Segera dihalaunya perasaan tidak enak itu berlalu pergi.  Sedaya upaya mukanya dimaniskan.
“Eh Cik Feeda, ni Maya dah letakkan nasi. Ambillah,” ujar Maya sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi itu.
Ek eleh perempuan ni, pandai pulak nak bahasakan diri dia nama dengan aku, dia ingat dia tu siapa entah. Loya tekak aku mendengarnya. Getus hati Mufeeda.
“Eh, kau tak faham bahasa ke? Aku cakap bagi aku nasi tu, bukan pinggan tu. Memang dasar otak bengap betul kau ni kan?” herdik Mufeeda.
Nashriq yang mendengar lantas mengangkat wajahnya.
“Apa ni Feeda? Cakap elok-elok tak boleh ke?” marahnya.
Mufeeda mencebik.
“Dia ni bang, orang cakap nak nasi tu. Bukan pinggan tu. Sengaja nak buat orang marah,” adu Mufeeda.
“Bukan sama aje ke? Dalam pinggan tu kan ada nasi juga, makan ajelah,” ujar Nashriq. Tinggi suaranya memarahi adik sepupunya yang mengada-ngada itu.
Mufeeda menyeka air mata. Bibirnya diketap kuat. Bukan air mata sedih atau pilu yang mengalir, tetapi air mata minta simpati.
Hamidi yang memerhati sedari tadi hanya menggeleng perlahan. Maya menundukkan wajahnya. Tangannya menguis-nguis nasi di dalam pinggan itu. Seleranya yang menggunung tadi, habis hilang kerana dek herdikan sepupu majikannya itu.
“Maya, makanlah. Yang dikuis-kuis lagi nasi tu buat apa?” marah Nashriq kepada Maya pulak.
Haik, tak ada angin tak ada ribut, tak pasal-pasal Maya pulak yang kena.
Maya yang terkejut ditengking begitu lantas menyuap nasi laju-laju ke dalam mulutnya. Sehingga penuh mulutnya macam belon. Nashriq yang menyedari tingkah Maya yang menggelabah itu, lantas menggeleng perlahan. Terukir senyuman manis di bibirnya. Hatinya sedikit tercuit dengan telatah kelakar Maya itu.
“Amboi Maya, penuh mulut tu dengan nasi. Sampai nak suap lauk pun susah! Ha! Ha! Ha!” tawa Hamidi, cuba untuk menceriakan suasana.
Suka dia melihat muka Maya yang bulat macam belon itu. Comel sungguh.
“Hah? Err.. He..He..He..” balas Maya.
Nashriq yang menahan tawa dari tadi akhirnya meletus juga keluar.
Tengok reaksi Mufeeda pula. Mak aih, masamnya muka. Sekali imbas dah macam jeruk kelubi. Buruk benar. Harap bibir aje tebal dengan lipstick, tapi senyum pun tidak. Ish ish ish, buang duit aje beli lipstick mahal-mahal. Bukan mencantikkan, menghodohkan tuan punya badan lagi adalah.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang memerhatikan mereka dari sebalik dinding yang memisahkan ruang dapur dan ruang makan itu.
Makin marak api kebenciannya apabila melihat gadis miskin itu tanpa segan silu bergurau senda dengan anak majikannya.
Nanti kau, Maya. Tahulah aku nak mengajarnya.


Maya mengangkat semua pinggan yang hendak dibasuh ke dalam singki dan menuang sisa-sisa makanan ke dalam tong sampah. Tiba-tiba, lengannya dicengkam kuat dari belakang. Maya menoleh. Dia terkejut apabila melihat emaknya  sedang merenung tajam ke arahnya.
“Basuh tangan tu, Maya. Masuk bilik sekejap. Mak nak cakap,” arahnya sebelum berlalu ke bilik.
Maya hanya menurut. Gerun dia melihat wajah masam ibunya tadi.
“Ada apa, mak?” soal Maya sambil melabuhkan punggungnya di atas katil usang itu. Wajah tua emaknya direnung.
“Ada apa kau tanya aku, Maya? Kau buat apa tadi?!” soal Che Intan kasar.
Maya mengerutkan dahinya. Apa punya soalan ni?
“Tadi Maya basuh pingganlah. Lepas tu kemas dapur tu. Laa, mak pun nampak tadi kan?” jawab Maya bersahaja.
Che Intan menolak kepala anaknya itu. Hingga terjatuh gadis itu ke lantai. Geram sungguh dia. Orang tanya betul-betul dia boleh jawab main-main pula.
Maya tersentak.
“Kenapa ni, mak? Maya salah apa?” soal Maya sendu.
“Hei Maya, bukan main sedap lagi kau makan semeja dengan Nashriq tadi. Kau sedar tak kau tu siapa? Sakit mata aku yang melihat ni tahu tak?!” tengking Che Intan.
Maya menggeleng kesal. Tak sangka isu dia makan semeja dengan Nashriq telah menaikkan darah emaknya sampai macam ni sekali.
“Maya makan aje dengan Encik Nashriq tadi. Itu pun dia yang ajak, salah ke mak?” soal Maya telus.
Mencerlung mata Che Intan merenung anaknya.
“Memanglah salah. Nanti kalau orang lain nampak, majikan makan dengan orang gaji. Nanti dia orang cakap apa pulak? Kau suka ke bila orang lain sibuk mengata emak tak pandai menjaga anak? Hah? Kau suka ke? Sedarlah diri tu sikit, Maya. Kita ni orang gaji aje kat sini. Janganlah kau berangan nak rapat-rapat dengan si Nashriq tu,” marah Che Intan.
Air mata disapu dengan hujung lengan baju kurung kedahnya itu. Sedih sangatlah konon gayanya tu.
Perlahan-lahan Maya menghampiri emaknya. Tangan emaknya digenggam erat.
“Emak, maafkan Maya. Maya janji Maya tak buat macam tu lagi. Maya janji Maya tak rapat lagi dengan Encik Nashriq lagi. Mak jangan sedih-sedih ya,” pujuk Maya.
“Berapa kali aku nak ingatkan kau? Kau lupa ke atau kau buat-buat lupa?” tengking emaknya lagi.
Maya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia menyeka air matanya.
“Mak tak marah kau Maya kalau kau ada hati dengan si Nashriq, tapi tolonglah Maya. Tolonglah jangan tambah lagi beban di bahu mak. Mak dah tak larat nak tanggung caci maki orang. Kita ni orang susah, Maya, bukan orang senang. Sedarlah sikit diri tu, Maya. Ya Allah! Apa kata Tan sri dengan Puan sri nanti kalau mereka tahu anak emak ada hati dengan anak mereka tu? Malu mak tahu tak,” tangis Che Intan.
 Makin laju air mata palsunya mengalir. Tadi bukan main garang lagi, ni sedih pulak. Meraung tak tentu hala. Eh eh, lebih-lebih pulak orang tua ni.
Cakap ajelah, kau sebenarnya cemburu anak kau dapat makan semeja dengan bos kau. Apalah, dengan anak sendiri pun nak cemburu. Apa punya emak entah.
“Emak, janganlah cakap macam ni. Maya tak ada apa-apa perasaan pun dekat Encik Nashriq tu. Dia kan majikan kita. Takkanlah Maya boleh ada hati dengan dia, jangan merepeklah,” nafi Maya perlahan. Beria-ria dia meyakinkan emaknya itu.
Che Intan menjuihkan bibirnya. Menyampah betul aku mendengarnya. Macamlah aku tak tahu, kau tu yang terhegeh-hegeh nak dapatkan perhatian dari si Nashriq tu. Anak tak sedar dek untung! Menyesal aku menjaga kau dari kecil. Buat malu aku aje! Rengusnya geram.
 “Emak, dahlah. Jangan sedih-sedih lagi. Emak rehatlah ya, biar Maya sudahkan semua kerja kat dapur tu. Kesian Kak Biah buat sorang-sorang. Tak terkejar dia mak,” pujuk Maya.
“Maya, mak rasa kepala mak peninglah. Tolong urutkan sekejap,” pinta Che Intan dengan tiba-tiba sebelum merebahkan kepalanya ke bantal.
“Emak sakit ke? Kalau macam tu Maya pergi ambilkan nasi, mak makanlah dulu. Lepas tu, mak makan ubat ya,” ujar Maya dengan riak yang risau.
“Tak payahlah, aku suruh kau urut kepala aku. Bukan suruh kau ambil makanan. Bodoh betul kau ni,” herdik Che Intan. Ya Allah perempuan tua ni, apa masalah dia sebenarnya ya?
Maya hanya menurut. Lincah tangannya memicit dahi orang tua itu. Sesekali, menitis air matanya ke atas dahi emaknya itu. Sedih sungguh hatinya. Kerana status dan darjat, dia disisihkan sehingga sedemikian rupa.
Salahkah dia dilahirkan dari keluarga yang miskin? Beruntung sungguh jadi anak orang kaya kan. Tak payah susah-susah cari kerja. Tak payah pening-pening kepala nak fikir soal hidup. Tapi aku? Hanya kerana anak orang gaji, semuanya terbatas bagi aku. Bilalah agaknya nasib aku nak berubah.. Rintih Maya.
Che Intan membuka matanya. Dia berasa pelik tiba-tiba apabila ada air menitis di atas mukanya. Cepat-cepat ditepisnya tangan anaknya itu.
“Maya, kalau kau rasa terpaksa nak urut kepala mak ni, baik kau tak payah buat. Menyusahkan aje. Habis basah muka aku dengan air mata kau. Tak payahlah kau nak buat drama air mata pulak kat sini.
Kau nak menangis pasal apa? Patutnya kau kesian dekat aku ni, bukannya kesian dekat diri kau yang bodoh tu,” hambur Che Intan tanpa rasa kasihan.
Sanggup dia memanggil anaknya sendiri dengan panggilan bodoh. Tak patut sungguh.
“Maya bukan sedih pasal Maya mak. Maya kesian dengan mak. Sampai bila kita nak hidup menumpang macam ni. Mak tu bukan larat sangat dah, Maya risau kalau mak sakit,” tulus suara itu berkata.
“Habis tu, kau sedih sebab kau ingat aku dah nak mampos ke? Kalau aku mampos, senang sikit hidup kau kan. Tak adalah kau kena tolong aku buat kerja dekat rumah ni lagi, macam tu?!” tempik Che Intan.
Makin laju air mata yang menuruni pipi mulus Maya. Perkataan mampos yang baru keluar dari mulut emaknya itu seakan merentap jantungnya pergi.
Dengan pantas, tubuh wanita tua itu dirangkulnya erat.
“Emak… Mak jangan cakap macam ni. Maya dah tak ada sesiapa lagi kat dunia ni selain mak. Janganlah mak pergi dari hidup Maya,” ngongoi Maya di dada emaknya.
Berkerut dahi Che Intan mendengarnya. Dia menolak tubuh gadis itu kasar.
“Mak…” tangis Maya. Kabur matanya memandang wajah tua yang bengis itu.
“Woi, kau dah gila ke? Kau ingat aku dah nak mati sangat ke?” tengking wanita berhati batu itu. Kepala anaknya ditunjalkan beberapa kali. Maya menggelengkan kepalanya.
“Tak mak, Maya tak cakap macam tu. Maya tak nak mak mati. Mak janji jangan tinggalkan Maya ya?” pilu suara Maya merayu emaknya itu.
Tapi sayang, tidak berbekas sedikit pun di pendengaran wanita tua itu.
“Kau ni kenapa, Maya? Aku pening kepala aje. Yang kau menangis meraung macam orang gila ni kenapa?” marah Che Intan. Rimas dia melihat air mata yang sedari tadi mengalir di pipi gadis itu. Macam mendoakan dia cepat mati aje.
“Dah-dah, sapu air mata tu. Kalau kau tak nak aku cepat mati, dengar cakap aku ni. Jauhkan diri kau dari Nashriq. Lepas tu, jangan nak memandai-mandai buat muka tak malu menayang muka depan diorang sekeluarga.
Ingat, selagi aku tak suruh, kau jangan buat. Kalau kau pandai-pandai buat, tahulah aku nak mengajarnya. Memang sahlah kau tak sayang emak kau ni,” pesan Che Intan penuh dengan amaran.
Berderau darah Maya mendengarnya. Cepat-cepat disapunya air mata dengan belakang lengannya.
“Baik, mak. Maya janji, Maya ikut semua cakap mak,” balas Maya bersungguh-sungguh.
Tak sampai hati rasanya melihat wajah tua itu dirundung pilu selalu. Maya tidak mahu emaknya dihina dan dicaci oleh orang lain.

Mulai dari saat ini, dia mesti meletakkan satu benteng di antara dia dan Nashriq. Dan yang paling penting, cintanya juga harus dikuburkan dengan segera. Ya, pasti! Tekad Maya.

No comments:

Post a Comment