Friday, 1 November 2013

Cintaku Bukan Untuk Dijual - Bab 3

NASHRIQ memakirkan keretanya bersebelahan dengan kereta Audi Q5 milik sepupunya, Yusra. Lama dia berteleku di tempat pemandu sebelum melangkah keluar. Tiba-tiba, dia ternampak kelibat Maya sedang menyiram bunga di halaman rumah. Tidak jauh dari situ, kelihatan uminya, Puan Sri Midah sedang duduk minum petang bersama ayahya. Ralit dia memerhatikan tingkah Maya sambil badannya disandarkan ke kereta.
Tiba-tiba namanya dilaungkan dari jauh.
“Nashriq! Marilah sini, minum dengan umi. Dah lama umi tak berborak dengan kamu,” jerit Puan Sri Midah.
“Eh, awak ni Midah. Janganlah jerit kuat-kuat. Awak tu bukannya sihat sangat,” tegur Tan Sri Zukri.
Nashriq menghampiri kedua orang tuanya itu. Tangan umi dan ayahnya dicapai dan dicium.
“Anak umi pergi mana ni? Tak lekat langsung kat rumah,” bebel Puan Sri Midah.
Nashriq hanya tersenyum.
“Riq keluar kejap tadi dengan Midi. Teman dia cari baju untuk interview esok,” jawab Nashriq bersahaja. Cawan yang berisi air kopi itu dicapai.
“Oh, dia dapat kerja kat mana?” tanya Tan Sri Zukri.
“Entah, dia kata dekat syarikat perhotelan,” balas Nashriq.
Tan Sri Zukri menganggukkan kepalanya.
“Kenapa tak suruh dia kerja dengan ayah aje, Riq?” tanya Puan Sri Midah pula.
Puan Sri Midah menoleh ke arah anaknya apabila soalannya tidak berjawab. Dia tersenyum penuh makna. Tengok Maya rupanya.
“Nashriq... Oh Nashriq Irfan,” panggil Puan Sri Midah. Tan Sri Zukri menurunkan surat khabar yang dibaca. Matanya dihalakan ke arah isterinya. Keningnya diangkat.
“Kenapa anak awak tu?”
Puan Sri Midah mengenyitkan matanya. Jari telunjuk diletak pada bibirnya, isyarat menyuruh suaminya diam.
Leka Nashriq memerhatikan Maya sehingga dia tidak sedar yang dirinya juga turut diperhatikan.
“Riq, tengok apa tu?” tegur Puan Sri Midah. Sekaligus mematikan lamunan Nashriq.
“Hah? Air? Sedap air ni umi. Siapa buat eh?” tutur Nashriq tanpa sengaja. Kelam-kabut jadinya dia apabila ditegur sedemikian rupa.
Meletus tawa Puan Sri Midah. Tan Sri Zukri yang berada di situ hanya menjeling tajam.
“Riq.. Riq.. Apa anak ayah ni, tengok orang sampai tak sedar orang sekeliling ya,” perli Tan Sri Zukri.
Nashriq menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Aduh, macam mana boleh kantoi ni. Kalau aku tengah tengok orang lain tak apalah juga, ni tak. Ada ke patut kantoi skodeng anak orang gaji sendiri. Buat malu aje, tempelak Nashriq terhadap dirinya sendiri.
“Err.. Mana ada ayah, Riq tengok tu pokok bunga tu. Masa bila ada kat situ ya? Selama ni tak ada pun. Baru beli ya umi?” dalih Nashriq sambil memandang uminya. Hai mintak-mintak janganlah umi pun nak bom dia sekali.
“Hai Riq, tengok pokok bunga tu ke, atau tengok tuan yang siram pokok bunga tu? Setahu umi, pokok bunga tu dah ada lama dekat situ. Dari Riq kecil lagi,” balas Puan Sri Midah.
Gulpp, macam peluru berpandu jawapan yang diberikan. Nashriq sudah tidak senang duduk. Terasa panas punggungnya kalau terus duduk di situ. Nanti macam-macam lagi yang akan keluar dari mulut uminya itu.
“Err.. Umi, Riq naik atas dululah ya. Melekit pulak rasa badan ni. Nak mandi la. Oh ya, swimming pool kat belakang dah boleh guna ke? Riq ingat nak swimming la petang-petang macam ni,” balas Nashriq sambil berdiri. Dia sudah bersedia untuk beredar dari situ dengan kadar segera.
“Boleh guna dah. Tadi umi nampak Yusra baru aje naik dari swimming pool tu. Pergilah,” balas uminya.
Nashriq mengurut dadanya tanda lega. Fuh, nasib baik.. He he he.
“Eh, nanti dulu Riq,” tahan Puan Sri Midah.
“Ya, umi,” sahut Nashriq.
Dia masih berdiri di sisi uminya. Masih setia menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut wanita separuh abad itu.
“Esok tolong hantarkan Maya pergi kedai bunga umi ya,” arah Puan Sri Midah.
Nashriq mengerutkan dahinya.
“Buat apa hantar dia pergi sana?” soalnya.
“Laa, tolong tengokkan kedailah. Lagipun, umi ingat nak ajar si Maya tu serba sedikit tentang business ni. Mana tahu, one fine day, dia boleh take over kedai umi tu. Umi ni dah tua, Riq.
Tak larat dah nak buat tu semua. Tak salah umi rasa kalau umi serahkan kedai tu dekat Maya. Baik budaknya. Umi dah anggap dia tu macam anak umi sendiri,” terang Puan Sri Midah panjang lebar.
Nashriq mengangguk.
“Baik umi. Riq naik dulu ya,”
Puan Sri Midah mengangguk.
Langkah Nashriq tiba-tiba terhenti tidak jauh dari situ apabila terdengar ayahnya bersuara. Telinganya bagai ditarik-tarik untuk mendengar isi perbualan tersebut. Bunyinya macam serius sahaja.
“Awak ni Midah, fikir masak-masak dulu sebelum buat keputusan. Maya tu anak orang gaji kita aje. Sampai macam tu sekali ke awak percayakan dia untuk uruskan kedai awak tu? Silap-silap nanti ditipunya kita hidup-hidup,” luah Tan Sri Zukri. Tinggi nada suara ayahnya itu.
“Eh, apa abang ni. Tak baik tau buruk sangka pada budak Maya tu. Saya kenal sangat dia tu, bang. Saya percayakan dia. Saya lebih percayakan dia dari si Yusra tu,” tegas Puan Sri Midah.
“Awak lagi percayakan orang luar dari keluarga sendiri ke Midah? Apa awak dah lupa asal usul si Maya tu ke?” soal Tan Sri Zukri.
Tajam matanya menikam wajah isterinya itu.Puan Sri Midah membalas pandangan suaminya.
“Ya, memang saya lebih percayakan orang luar  walaupun orang luar tu bukan dari kalangan keluarga saya sendiri bang. Saya dah anggap Maya tu macam anak saya sendiri. Kenapa? Salah ke? Abang ingat saya akan serahkan kedai bunga saya tu pada anak saudara kesayangan abang tu ke? Oh, pleaselah. Tidak sesekali.
Saya kenal sangat perangai Yusra tu. Berfoya-foya siang malam. Rumah ini dibuatnya macam hotel. Kalau ikutkan hati saya ni, nak aje saya halau dia tu dari rumah ni. Tapi, disebabkan dia anak saudara kesayangan abanglah katakan, saya buat tak tahu aje,” hambur Puan Sri Midah geram.
Nashriq nak tergelak mendengar sindiran uminya itu. Memang kena sangatlah. Bagi ayah tu sedar sikit yang anak saudara kesayangan dia tu tak adalah baik mana. Perangai tak semenggah. Mengabehkan boreh aje simpan perempuan macam tu dalam rumah ni, tak mendatangkan faedah langsung.
“Amboi Midah, sedapnya awak mengata si Yusra tu ya. Apa awak ingat si Maya tu baik sangat ke?” herdik Tan Sri Zukri pula.
“Eh, memang dia baik. Sopan santun budaknya. Cukup budi pekertinya bang. Kalaulah anak saudara abang tu ikut perangai Maya tu, kan bagus. Sejuk sikit hati saya tengok,” perli Puan Sri Midah selamba.
 “Malaslah saya layan awak ni. Tak habis-habis nak menyalahkan orang lain. Nanti Midah, bila budak miskin tu dah tipu awak, baru awak sedar masa tu langit ni tinggi ke rendah,” balas Tan Sri Zukri.
“Memang saya tahu langit ni tinggi, mana ada yang rendah,” jawab Puan Sri Midah selamba.
Tan Sri Zukri merengus dan mencampak surat khabar itu dengan kasar. Nashriq yang perasan kelibat ayahnya yang menuju ke situ, pantas menghilangkan diri ke dalam rumah. Tak pasal-pasal aku pun kena sembur sekali kang. Bisik hatinya.


Nashriq mengatur langkahnya ke bilik sambil menyanyi riang. Dalam masa yang sama, Maya juga baru keluar dari dapur sambil menatang pinggan-pinggan kaca yang mahal milik Puan Sri Midah. Tanpa diduga, langkah mereka bertembung dan..
“Oh mak kau!” latah Maya.
Pranggggg! Habis pecah berderai pinggan-pinggan kaca itu ke lantai.
Terbeliak mata Maya melihat pinggan-pinggan kaca yang mencium lantai itu. Pucat lesi wajah Maya. Kalau ditoreh dengan pisau, memang tak keluar darah. Lemah lututnya apabila memikirkan hukuman yang bakal diterima kerana kecuaiannya itu.
“Alamak, macam mana ni? Aduh, matilah aku macam ni,” omel Maya.
Dia menunduk untuk mengutip kaca-kaca tersebut. Nashriq yang berdiri di hadapannya tidak dihiraukan. Mungkin kerana terlalu panik melihat pinggan-pinggan kaca yang pecah itu dari mengambil tahu perihal buah hatinya. Walhal, berkerut-kerut dahi lelaki itu menahan sakit kerana terkena kaca.
“Aduh.. Sakitnya,” desis Nashriq sebelum dia terduduk di sisi Maya.
Serta merta mata Maya tertancap pada kaki majikannya itu. Terlepas semua kaca yang dikutip dari lantai itu.
“Ya Allah, Encik Nashriq! Berdarah ni. Macam mana ni?” soal Maya risau.
Maya bingkas bangun dan memimpin Nashriq duduk di kerusi yang berdekatan dengan tangga. Selepas itu, kelam-kabut dia mencari kain di dapur. Betapa risau hatinya melihat luka yang selebar dua inci itu.
Dia menyentuh ibu jari kaki Nashriq dengan tangannya. Ajernih matanya memandang wajah Nashriq yang sedang berkerut-kerut itu.
“Aduh, macam mana kau bawak pinggan ni, mata kau letak kat lutut ke apa,” balas Nashriq sangkut-sangkut. Cuba menahan rasa ngilu di jarinya apabila ditekap dengan tuala basah.
“Kejap ya Encik Nashriq, saya balut luka ni dulu. Tak bagi darah keluar. Maafkan saya, Encik Nashriq. Saya yang salah. Saya jalan menonong aje tadi. Tak nampak Encik Nashriq jalan dekat situ,” balas Maya. Ada manik-manik jernih turun dari kelopak matanya.
“Kau menangis?” soal Nashriq.
Maya pantas menyeka air matanya.
“Taklah, mana ada nangis. Tahan sikit ya, saya nak ikat dengan tuala ni,” jawab Maya perlahan.
Dia menangis sebab aku ke? Bisik hati Nashriq. Jantung berdegup kencang saat matanya bersatu dengan mata bundar milik gadis itu.
“Encik Nashriq kena pergi hospital ni, kalau tak nanti lambat baik nya,” ujar Maya. Serak-serak basah suara.
Aik, pelik kan? Kaki orang lain yang sakit kena kaca, tapi dia yang menangis beria-ria macamlah kaki dia yang luka. Nama pun sayang kan, mestilah menangis. Nashriq tu kan cinta hati dia...
“Tak apalah. Sikit aje ni. Lagipun kau dah balut tu, nanti kat atas aku letak ubat. Eloklah nanti tu,” balas Nashriq. Mendatar sahaja suaranya. Padahal hatinya meronta-ronta nak menyuruh Maya menyapu ubat di lukanya, bukan dia yang sapu sendiri. Egonya lelaki ni ya?
“Apa bising-bising ni?” jerit satu suara.
Nashriq dan Maya sama-sama menoleh ke arah suara tersebut. Pucat muka Maya melihat wajah emaknya di situ.
“Err.. Tak ada apa mak. Pinggan ni jatuh, pecah. Maya yang salah,” ujar Maya perlahan. Kepalanya ditundukkan. Tidak berani menentang pandangan mata emaknya yang mencerun itu. Lincah tangannya mengutip kaca-kaca yang bertaburan itu.
“Maya, hati-hati! Nanti terluka tangan tu,” pesan Nashriq. Aik? Caring pula mamat ni dekat Maya ya.
Che Intan mendengus kasar.
“Ya Allah, Maya. Aku dah cakap. Kau ni bukan boleh buat kerja berat sikit, mulalah jadi tak betul. Ni siapa nak ganti pinggan mahal-mahal ni, Maya? Ya Allah, apalah nasib aku dapat anak macam ni, tak boleh diharap langsung!” rungut Che Intan.
Maya sedaya upaya menahan air matanya dari mengalir. Aduh, air mata. Berhentilah wahai dikau. Takkan hal macam ni pun kau nak menangis. Tadi dahlah tak malu menangis depan Encik Nashriq. Ni takkan nak menangis lagi kat sini, bisik Maya.
Nashriq hanya memerhati orang gajinya itu memarahi anaknya. Entah kenapa lidahnya terasa kelu untuk berkata-kata. Dia yang salah sebenarnya. Dia yang jalan tak tengok kiri dan kanan. Eh, macam melintas jalan la pulak. Bukan, sebenarnya dia yang terlanggar Maya padahal dia tahu gadis itu begitu berhati-hati menatang pinggan-pinggan itu tadi.
“Err... Che Intan,” panggil Nashriq. Memang semua memanggilnya dengan panggilan itu. Nama glamour lah katakan.
“Maya tak salah. Saya yang salah. Saya jalan menonong aje tadi tak nampak dia baru keluar dari dapur tu. Che Intan janganlah marah dia,” ujar Nashriq. Redup matanya menikam wajah keruh Maya. Kasihan gadis itu. Tak pasal-pasal dia yang dimarahi.
Che Intan hanya merengus perlahan. Apa boleh buat, pembela Maya ni ada dekat sini. Kalau tak, dah lama aku balun si bengap ni dengan penyapu. Baru puas hatinya.
“Maya, pergi ambil penyapu dengan penyodok kat dapur!” arah Che Intan kasar.
Maya berlalu ke dapur sambil matanya tidak lepas-lepas dari tadi memandang ke arah luka di kaki Nashriq. Risau barangkali dengan keadaan buah hatinya itu.
Yusra yang baru turun dari tangga itu pantas mendekati Nashriq. Buntang biji matanya melihat darah yang membasahi tuala di jari kaki sepupunya itu.
“Riq, kenapa dengan kaki kau ni? Banyaknya  darah!” tempiknya.
Che Intan yang turut terkejut mendengarnya pantas menghampiri anak majikannya itu.
“Ya Allah, Riq. Teruk luka ni, kena kaca tadi tu ke?” soal Che Intan lurus.
Apa punya soalanlah dia ni, dah sah-sahlah kena kaca tu. Takkan sengaja dipotongnya jari kakinya itu dengan pisau.
“Hah? Kaca?” soal Yusra. Matanya tertancap ke arah kaca yang bertaburan di atas lantai.  Serta merta darahnya mendidih.
“Woi, apa korang anak beranak ni dah buat hah?! Korang memang sengaja ya nak pecahkan pinggan ni semua. Nak tunjuk protes ke apa? Ni pinggan ni semua siapa nak ganti?!” tempik Yusra.
Terjegil biji matanya memandang Che Intan.
“Yusra, dah lah tu. Sikit aje pun,” larang Nashriq dari terus menyalahkan orang gajinya itu.
Kecut perut Che Intan melihat muka bengis gadis itu. Makin bertambah geramnya kepada Maya. Tak pasal-pasal dia turut terkena tempiasnya. Maya yang baru muncul dari dapur itu pantas mencelah.
“Maya yang salah, Cik Yusra. Maya yang buat pinggan ni semua pecah. Bukan mak yang buat. Er...  Cik Yusra, kaki Encik Nashriq luka tu. Boleh tak Cik Yusra bawa dia ke klinik, Maya risau tengok luka dia tadi. Besar juga,” lirih Maya bersuara.
Dikuatkan semangatnya untuk menentang mata Yusra yang mencerlung itu.
Demi lelaki kesayangannya, dia rela dimarahi dan dicaci, sungguh dia tidak kisah langsung asalkan lelaki kesayangannya itu selamat.
“Amboi, suka-suka hati kau aje nak arah-arah aku! Kau tu sapa Maya nak bercakap macam tu dengan aku,” tengking Yusra.
“Maafkan saya,” balas Maya sambil menundukkan wajahnya.
Makin meruap-ruap kemarahan Yusra terhadap Maya. Langkahnya diatur ke arah gadis itu dan serta merta penyapu di tangan gadis itu direntap kasar. Tanpa diduga, dia memukul badan Maya dengan penyapu itu. Bayangkanlah batang penyapu yang keras itu dihambatnya ke tubuh gadis kecil molek itu.
Menjerit Maya dibuatnya.
“Eii kau ni memang bodohlah! Bawak pinggan pun tak reti. Habis pecah semuanya! Ambik kau, rasakan. Ni hadiahnya untuk orang yang tak sedar dek untung macam kau ni. Biar aku ajar sikit,” bebel Yusra sambil tangannya tak berhenti memalu badan Maya dengan penyapu itu seperti perempuan gila.
Maya mengaduh kesakitan. Dia mengetap bibirnya geram. Memang salahnya, tetapi patutkah dia dijatuhkan hukuman sehingga sedemikian rupa?
“Hey! Sakitlah! Suka-suka hati kau nak pukul aku dengan penyapu ni! Kau ingat aku ni haiwan ke?!” tempik Maya.
Mulut Nashriq ternganga mendengar ajerkahan yang lahir dari mulut gadis itu. Penyapu di tangan Yusra dirampas dengan kasar dan dicampak kan ke tepi.
Nah! Sekarang baru mereka tahu siapa Maya yang sebenarnya. Dia tidak rela dirinya dan emaknya dicerca dengan sedemikian rupa. Apa pun yang terjadi, harga dirinya tetap akan dipertahankan.
 “Wah, kurang ajar kau sekarang ya. Berani kau nak lawan aku? Hah?” serta merta rambut panjang Maya ditariknya sekuat hati.
Namun Maya tidak mudah mengalah. Tangannya sama naik menarik rambut pendek separas bahu Yusra.
Nashriq sudah naik berang melihat adegan yang berlaku di hadapan matanya. Dia tidak menyangka yang Yusra dan Maya akan bergaduh sehingga sedemikian rupa. Macam budak tak cukup umur!
“Yusra! Berhenti aku kata! Maya!!” jerit Nashriq. Tangan Yusra ditarik kasar.
“Apa ni, Riq?! Biar aku ajar sikit budak ni. Sini kau, Maya!” tengking Yusra. Dia cuba menarik lengan Maya dengan kasar.
Nashriq naik berang. Serta merta tangannya naik dan ditamparnya pipi Yusra sekuat hati. Melayang-layang tubuh Yusra ke belakang sebelum dia jatuh terjelepuk di hujung tangga.
Pedih! Bukan calang-calang tamparan yang dia terima.
Mencerlung mata Nashriq merenung Yusra.
“Nashriq!” jerit Tan Sri Zukri.
Nashriq tersentak. Pandangannya dihalakan ke arah suara itu.
Dari tadi Tan Sri Zukri hanya memerhati drama yang terbentang di hadapan matanya itu. Dia mahu melihat sejauh mana Nashriq mahu membela gadis miskin itu.
Dia berasa egonya tercabar apabila anaknya lebih memihak kepada gadis miskin itu berbanding dengan sepupunya sendiri. Terus mendidih darahnya apabila melihat Nashriq dengan beraninya menampar pipi Yusra sehingga jatuh anak saudaranya itu ke lantai.
Semua yang berada di situ terkejut dengan kehadiran Tan Sri Zukri. Maya lebih-lebih lagi. Kecut perutnya melihat muka bengis Tan Sri Zukri yang sedang merenung tajam ke arahnya.
Puan Sri Midah yang baru tiba di situ juga terkejut melihat apa yang berlaku. Dia sudah tidak sedap hati apabila melihat wajah Maya yang basah dengan air mata.
“Maya, kenapa ni sayang?” soal Puan Sri Midah lembut.
Che Intan menjuihkan bibirnya. Menyampah dia mendengar majikannya memanggil anaknya begitu.
Maya menggelengkan kepalanya. Dia menarik tangannya lembut dari pegangan Nashriq dan menjarakkan dirinya dari lelaki itu. Dia tidak mahu majikannya tersalah anggap pula nanti. Nashriq hanya merenung simpati wajah gadis malang itu. Dia tahu, Maya menahan sakit yang teramat sangat sekarang.
Denyutan luka di kakinya semakin terasa. Tetapi, timbul persoalan di benaknya. Kenapa Che Intan tidak menghalang sewaktu anaknya dipukul oleh Yusra tadi. Lama matanya merenung orang gajinya itu. Cuba mencari jawapan.
Che Intan yang perasan akan pandangan mata Nashriq yang mencerun itu, lantas cepat-cepat dilarikan wajahnya. Berpura-pura menyeka air matanya yang mengalir. Sedihlah konon. Separuh mati anaknya dikerjakan, baru sekarang nampak riak sedihnya. Memang dasar wanita kejam betullah.
“Kenapa kamu tampar Yusra, Riq? Sebab kamu nak bela perempuan ni ke?!” soal Tan Sri Zukri. Tinggi nada suaranya itu.
Yusra yang terduduk di hujung tangga itu tersenyum sinis. Pembelanya sudah datang. Siaplah kau, Nashriq. Suka-suka hati kau aje tampar aku. Aku saman nanti baru kau tahu. Bisik hatinya.
“Ayah tanyalah anak buah kesayangan ayah tu,” jawab Nashriq. Mendatar sahaja suaranya itu.
“Kenapa ni Riq? Apa yang berlaku sebenarnya?” soal Puan Sri Midah.
Nashriq merenung tajam ke arah Yusra. Geram betul dia melihat sepupunya itu.
“Yus pukul Maya dengan penyapu,” jawab Nashriq.
“Apa? Yusra pukul Maya? Ya Allah! Kamu ni dah gila ke Yusra? Suka-suka hati kamu aje pukul orang dengan penyapu!” tengking Puan Sri Midah.
“Err.. Puan Sri, sebenarnya..,” belum sempat Che Intan mengabiskan ayatnya,Yusra memotong.
“Iyelah auntie, Yus pukul dia sebab dia dah pecahkan pinggan auntie ni semua. Banyak pulak tu. Dah lah tu, kaki Nashriq pun luka terkena kaca angkara perempuan yang tak sedar diri ni,” bela Yusra.
 Dalam masa yang sama, sempat lagi dia mengenakan Maya. Maya yang sedang berdiri di sudut meja hiasan itu hanya menundukkan wajahnya.
“Ya Allah, habis tu kalau pinggan tu pecah sekali pun takkan kamu sampai nak membunuh?!” tengking Puan Sri Midah.
Geram sungguh dia. Selepas itu, matanya dihalakan ke arah kaki anak lelakinya. Basah tuala itu dengan darah.
 “Puan Sri, Maya yang salah. Memang patut pun Cik Yusra pukul Maya dengan penyapu tu. Maya minta maaf Puan Sri. Nanti Maya ganti balik semua pinggan yang pecah tu,” lirih Maya bersuara.
Dia tidak mahu masalah ini berlarutan. Memang benar semuanya berpunca dari kecuaiannya sendiri.
Che Intan yang berdiri tidak jauh dari situ menjegilkan matanya ke arah Maya. Banyak duit kau nak ganti?! Pinggan tu mahal tau tak. Bodoh betullah kau ni Maya. Aduh, tak pasal-pasal gaji aku pula yang kena potong nanti. Che Intan meraup mukanya kasar.
Mungkin kata-kata itulah yang ingin dihamburkan kepada Maya. Tetapi, mengenangkan situasi yang tidak berapa sesuai itu, dikuburkan sahaja hasratnya itu.
“Umi tak marahkan kamu, Maya. Kalau betul pun salah kamu, umi maafkan. Tapi, umi tak boleh terima kalau ada orang lain yang tak berhak berada dalam rumah pandai-pandai sendiri aje nak menjatuhkan hukuman terhadap kamu,” perli Puan Sri Midah pedas.
Nashriq memegang kepalanya. Maya tak bersalah, dia yang bersalah! Serasa mahu dijeritnya kepada seisi rumah itu. Baru puas hatinya.
Yusra membuang pandang ke arah bapa saudaranya itu untuk meraih simpati.
“Dah lah tu, Midah. Yusra tak sengajalah nak pukul Maya ni. Janganlah awak nak marahkan dia sampai macam tu sekali. Awak ni, takkan pasal pinggan pun nak bergaduh?”
Puan Sri Midah mengeluh berat. Sayu matanya merenung wajah gadis itu.
“Saya tak kisah langsung pasal pinggan ni, abang. Kalau pecah semua pinggan  dalam rumah ni pun saya tak kisah! Tapi yang saya kisahkan, kenapa dipukulnya Maya ni dengan penyapu. Ya Allah, kalau nak diikutkan hati saya ni abang, dah lama saya balun Yusra ni pulak dengan penyapu. Baru dia sedar diri tu sikit!” bentak Puan Sri Midah.
 “Amboi, senang-senang aje auntie nak balun saya? Ingat saya ni tak ada mak bapak ke?” balas Yusra penuh biadab.
Puan Sri Midah merenung tajam anak saudaranya itu. Merah matanya menahan marah.
“Memang kamu tak ada mak bapak! Kalau kamu ada mak bapak, tak adalah kamu duduk merempat dekat rumah kami ni! Dan memang patut pun auntie balun kamu pula dengan penyapu tu, baru kamu rasa apa yang Maya ni rasa!” tengkingnya.
Nah, tajam seperti pisau kata-kata itu menikam hati Yusra. Bertambah bengkak hatinya apabila ibu saudaranya itu secara terang-terangan membela perempuan yang amat dia benci itu.
Yusra bingkas berdiri dan berlari menuju ke biliknya. Pintu dihempas kuat tanda protes.
Tan Sri Zukri merenung isterinya dengan tajam.
“Apa ni Midah? Awak sedar tak apa yang awak cakap ni?” soal Tan Sri Zukri. Bergetar suaranya menahan marah yang teramat sangat.
Puan Sri Midah tidak menghiraukan kata-kata suaminya. Dia berlalu ke arah Nashriq dan Maya. Tangan mereka digenggam erat olehnya.
“Abang, kalau awak masih nak bela anak saudara kesayangan awak tu, awak belalah. Saya sedikit pun tak kisah. Tapi, kalau sekali lagi saya nampak dia sentuh Maya, tahulah saya nak mengajarnya. Masa tu, abang jangan nak halang saya. Dan masa tu juga, abang pilih, anak saudara abang itu atau saya!” keras amaran yang diberikan oleh Puan Sri Midah terhadap suaminya itu.
Tan Sri Zukri tersentak. Dia merengus kasar dan berlalu ke tingkat atas.
Sayu hati Maya mendengar kata-kata majikannya itu. Sampai begitu sekali nasibnya dibela oleh perempuan berhati mulia ini.
Dia menyeka manik-manik ajernih yang menitis.
“Maya, Riq, mari umi bawa ke klinik. Karang lagi melarat luka tu. Intan! Awak bersihkan semua kaca-kaca ni. Jangan tertinggal satu pun. Bahaya kalau terpijak. Saya nak bawa mereka ni pergi klinik,” arah Puan Sri Midah.
“Baik Puan,” sahut Che Intan perlahan.
Dia menjeling tajam ke arah Maya. Geram hatinya.
Tak pasal-pasal aku yang kena kemas. Semua ni angkara si bengap tulah! Ya Allah, sabar ajela perempuan tua ni. Dengan anak sendiri pun nak berhasad dengki.
Ke mana ya agaknya menghilang sifat-sifat keibuan dalam diri wanita ini? Asyik nak membentak aje kerjanya. Sedarlah diri tu sikit wahai orang tua, rumah kata pergi, kubur pun dah kata mari... Alahai kasihan.

Cintaku Bukan Untuk Dijual - Bab 2

TANGAN Maya lincah mengaut lauk-pauk ke dalam pinggan. Selepas itu, dikautnya nasi dan disusun ke atas dulang. Tak menang tangan dibuatnya. Naik hairan juga Maya dan emaknya. Biasanya, orang-orang kenamaan ni akan tempah catering untuk majlis-majlis macam ni. Tetapi, berlainan pula dengan Puan Sri Midah. Dia lagi rela bersusah payah di dapur menolong pembantunya memasak dari menempah dari luar.
“Maya, dahlah tu. Mari makan dulu. Orang dah tak ramai pun. Kebanyakannya dah nak balik. Tinggal tiga empat orang aje lagi kat depan tu. Maya isi banyak-banyak lauk tu nak bagi siapa makan?” soal Kak Biah.
Maya menoleh. Dia memuncungkan mulutnya ke arah satu sudut. Kelihatan Nashriq sedang duduk berbual-bual dengan kawan baiknya di sofa itu.
“Alahai Kak Biah ni sibuklah. Encik Nashriq tak makan lagi tu. Maya kautkan semua lauk ni untuk dialah,” ujar Maya sambil tersenyum manis.
Beria-ria dia mengibas semua lauk itu dari dihurung lalat. Disusunnya pinggan-pinggan yang berisi lauk itu elok-elok di atas dulang. Mengalahkan nak menjamu putera raja pula gayanya. Bukan main cantik lagi.
Maya segera mengangkat dulang itu dan mengatur langkah dengan cermat ke arah Nashriq. Dari tadi tak lekang-lekang senyuman dari bibirnya. Kak Biah yang memerhati sedari tadi hanya menggelengkan kepalanya.
Tetapi, baru sahaja Maya hendak membuka mulut, kelihatan seorang perempuan muda dalam lingkungan 20-an memaut lengan Nashriq mesra. Nashriq kelihatan gembira melihat kehadiran gadis cantik itu di sisinya.
“Hei Feeda, bila sampai? Mak long dengan pak long ada sekali ke?” sapa Nashriq.
“Ada tu dekat luar, tengah borak dengan mak ngah dan pak ngah. Abang da makan? Jom teman Feeda makan. Feeda laparlah,” rengek Mufeeda.
Maya yang berdiri macam patung di belakang Nashriq itu menahan rasa hati apabila gadis itu memanggil Nashriq dengan panggilan ‘abang’.
Aduh, relaxlah Maya. Baru panggil abang, belum panggil sayang lagi. Kalau perempuan tu lebih-lebih, kau telungkup aje dulang ni atas kepala dia. Hehehe, sempat lagi akalnya berbicara.
“Feeda ajaklah Midi ni makan dulu. Dia pun baru sampai. Abang Riq makan sekejap lagi,” tolak Nashriq lembut sambil matanya dihalakan ke arah Hamidi. Hamidi menganggukkan kepalanya tanda setuju dengan cadangan sahabatnya itu.
Faham benar dia dengan isyarat sahabatnya itu. Sengaja Nashriq menyuruh Hamidi makan bersama Mufeeda. Dia rimas apabila Mufeeda asyik menyendeng-nyendeng badannya dengan Nashriq. Umur dah 21 tahun, tapi perangai mengalahkan budak umur sepuluh tahun. Tak tahu malu langsung.
Mufeeda memuncung mulutnya. Merajuk dengan penolakan abang sepupunya itu.
“Tak naklah. Penat Feeda siap cantik-cantik ni, nak jumpa abang. Nak makan sekali dengan abang, tapi abang suruh Feeda makan dengan Midi pulak,”
Nashriq menggigit bibirnya. Serba-salah pulak dibuatnya.
“Iyelah, jomlah Abang Riq teman Feeda makan. Jom, Di,” ujar Nashriq. Hidung Mufeeda dicuit.
“Mengada adik abang sorang ni tau, manja betul. Asyik nak berkepit dengan Abang Riq aje.”
Mufeeda tersenyum manja. Tangannya menepis jari Nashriq.
“Alah, abang bukan selalu pun balik sini. Apa salahnya sekali sekala Feeda nak manja-manja dengan abang,” rengek Mufeeda.
Maya yang berdiri di belakang mereka itu mencebikkan bibirnya. Nak termuntah rasanya mendengar bicara Mufeeda itu. Maya mengaturkan langkahnya semula ke dapur apabila dia melihat mereka bertiga sudah bangun dari sofa.
“Eh, Maya. Banyaknya lauk, untuk siapa ni?” soal Hamidi dengan tiba-tiba.
Maya terkejut apabila lelaki itu sudah berdiri di hadapannya. Matanya dihalakan ke arah Nashriq.
“Err.. Maya bawak lauk ni untuk Encik Nashriq. Tadi, mak yang suruh bawakkan. Dia kata Encik Nashriq tak makan lagi,” balas Maya.
Dengan selamba, nama emaknya dipetik untuk menyelamatkan dirinya. Bukan apa, nanti  kalau dia bagitahu hal yang sebenarnya, mahu dia diketawakan. Punyalah nak ambil hati Nashriq, rela dia menatang dulang yang penuh dengan lauk-pauk itu. Bukan sedikit lauknya, bukan main banyak lagi.
“Oh, untuk aku ke Maya. Baguslah, letak kat meja tulah. Orang pun dah ramai balik ni, kita makan kat meja ajelah. Jom Maya, kita makan sekali,” pelawa Nashriq.
Baik pulak mood mamat ni ya, siang tadi kat depan sekolah bukan main garang lagi. Maya hanya mengangguk. Kembang hatinya apabila Nashriq sudi makan lauk-pauk yang dibawanya. Yang paling dia seronok sekali, makan semeja dengan lelaki pujaannya itu.
Hai Maya, memang rezeki kaulah malam ni nak tatap muka dia puas-puas. Tak makan pun tak apa, tengok muka cik abang sayang pun dah terasa kenyang, bisik Maya di dalam hati.
Hamidi turut melangkah ke ruang makan. Tetapi, berlainan pula dengan reaksi Mufeeda. Dia mencebikkan bibirnya tanda menyampah dengan kehadiran Maya di situ.
Baginya, Maya telah merosakkan moodnya untuk bermesra dengan abang sepupunya itu. Kalau dengan Hamidi dia tidak kisah lagi, tapi dia dapat merasakan seolah-olah Maya turut menyimpan perasaan kepada abang sepupunya.
Kalau tidak, takkanlah dia sanggup menatang dulang tu sampai ke depan ni. Yang Abang Riq ni pulak, melayan aje perempuan tak tahu malu tu. Eii geramnya! Bebel Mufeeda di dalam hati.
Alamak, baru cinta Maya nak berputik, ada pula batu penghalangnya. Harap-harap perempuan berhati syaitan ni tidak merancang yang bukan-bukanlah terhadap Maya. Kasihan Maya…
Nashriq yang menyedari Mufeeda masih tidak berganjak dari ruang tamu itu, lantas memanggilnya.
“Feeda, marilah makan. Tadi kata lapar sangat, kita makan kat sini ajelah okey. Makan ramai-ramai ni seronok tau.”
Mufeeda masih memeluk tubuhnya di situ. Masam mencuka wajahnya tanda protes dengan abang sepupunya itu. Maya yang perasan akan hal itu pun bersuara.
“Cik Feeda, marilah makan sekali. Banyak lauk ni. Tak terhabis rasanya kalau kami bertiga sahaja yang makan,” ujar Maya sambil tersenyum.
Nashriq dan Hamidi mengangguk tanda mengiakan kata-kata Maya itu. Mereka makan tanpa menghiraukan Mufeeda yang masih tercegat di ruang tamu itu.
Kau ingat lalu ke tekak aku ni nak makan mengadap kau, haishh Abang Riq ni pun satu. Ada ke makan sekali dengan orang gaji. Tak ada class langsung! Bisiknya.
Akhirnya dia menapak jua ke meja makan. Makin sakit hatinya apabila melihat Maya mengaut lauk-pauk ke dalam pinggan Nashriq.
Thanks, Maya,” ujar Nashriq. Maya sekadar mengangguk.
Mufeeda menjeling geram.
Nak tunjuk baiklah tu. Tak ada maknanya, kalau dah nama pun orang gaji, selamanya akan tertulis jugak kat dahi kau tu perkataan orang gaji. Jangan kau mimpilah nak goda Abang Riq tu. Kau bukan taste dialah!
Serasa ingin sahaja dilontarkan kata-kata itu terhadap Maya, tetapi mengenangkan Nashriq yang berada di situ, dibatalkan sahaja niatnya itu. Mufeeda mengambil tempat di sebelah Nashriq. Kerusinya sengaja dirapatkan. Wajah Maya dijeling dengan penuh perasaan benci.
“Bak sini nasi tu!” arahnya dengan kasar.
Maya tersentak.
Kenapa pulak minah ni nak tengking-tengking? Ah, buat tak tahu ajelah. Segera dihalaunya perasaan tidak enak itu berlalu pergi.  Sedaya upaya mukanya dimaniskan.
“Eh Cik Feeda, ni Maya dah letakkan nasi. Ambillah,” ujar Maya sambil menghulurkan pinggan yang berisi nasi itu.
Ek eleh perempuan ni, pandai pulak nak bahasakan diri dia nama dengan aku, dia ingat dia tu siapa entah. Loya tekak aku mendengarnya. Getus hati Mufeeda.
“Eh, kau tak faham bahasa ke? Aku cakap bagi aku nasi tu, bukan pinggan tu. Memang dasar otak bengap betul kau ni kan?” herdik Mufeeda.
Nashriq yang mendengar lantas mengangkat wajahnya.
“Apa ni Feeda? Cakap elok-elok tak boleh ke?” marahnya.
Mufeeda mencebik.
“Dia ni bang, orang cakap nak nasi tu. Bukan pinggan tu. Sengaja nak buat orang marah,” adu Mufeeda.
“Bukan sama aje ke? Dalam pinggan tu kan ada nasi juga, makan ajelah,” ujar Nashriq. Tinggi suaranya memarahi adik sepupunya yang mengada-ngada itu.
Mufeeda menyeka air mata. Bibirnya diketap kuat. Bukan air mata sedih atau pilu yang mengalir, tetapi air mata minta simpati.
Hamidi yang memerhati sedari tadi hanya menggeleng perlahan. Maya menundukkan wajahnya. Tangannya menguis-nguis nasi di dalam pinggan itu. Seleranya yang menggunung tadi, habis hilang kerana dek herdikan sepupu majikannya itu.
“Maya, makanlah. Yang dikuis-kuis lagi nasi tu buat apa?” marah Nashriq kepada Maya pulak.
Haik, tak ada angin tak ada ribut, tak pasal-pasal Maya pulak yang kena.
Maya yang terkejut ditengking begitu lantas menyuap nasi laju-laju ke dalam mulutnya. Sehingga penuh mulutnya macam belon. Nashriq yang menyedari tingkah Maya yang menggelabah itu, lantas menggeleng perlahan. Terukir senyuman manis di bibirnya. Hatinya sedikit tercuit dengan telatah kelakar Maya itu.
“Amboi Maya, penuh mulut tu dengan nasi. Sampai nak suap lauk pun susah! Ha! Ha! Ha!” tawa Hamidi, cuba untuk menceriakan suasana.
Suka dia melihat muka Maya yang bulat macam belon itu. Comel sungguh.
“Hah? Err.. He..He..He..” balas Maya.
Nashriq yang menahan tawa dari tadi akhirnya meletus juga keluar.
Tengok reaksi Mufeeda pula. Mak aih, masamnya muka. Sekali imbas dah macam jeruk kelubi. Buruk benar. Harap bibir aje tebal dengan lipstick, tapi senyum pun tidak. Ish ish ish, buang duit aje beli lipstick mahal-mahal. Bukan mencantikkan, menghodohkan tuan punya badan lagi adalah.
Tanpa mereka sedari, ada sepasang mata yang memerhatikan mereka dari sebalik dinding yang memisahkan ruang dapur dan ruang makan itu.
Makin marak api kebenciannya apabila melihat gadis miskin itu tanpa segan silu bergurau senda dengan anak majikannya.
Nanti kau, Maya. Tahulah aku nak mengajarnya.


Maya mengangkat semua pinggan yang hendak dibasuh ke dalam singki dan menuang sisa-sisa makanan ke dalam tong sampah. Tiba-tiba, lengannya dicengkam kuat dari belakang. Maya menoleh. Dia terkejut apabila melihat emaknya  sedang merenung tajam ke arahnya.
“Basuh tangan tu, Maya. Masuk bilik sekejap. Mak nak cakap,” arahnya sebelum berlalu ke bilik.
Maya hanya menurut. Gerun dia melihat wajah masam ibunya tadi.
“Ada apa, mak?” soal Maya sambil melabuhkan punggungnya di atas katil usang itu. Wajah tua emaknya direnung.
“Ada apa kau tanya aku, Maya? Kau buat apa tadi?!” soal Che Intan kasar.
Maya mengerutkan dahinya. Apa punya soalan ni?
“Tadi Maya basuh pingganlah. Lepas tu kemas dapur tu. Laa, mak pun nampak tadi kan?” jawab Maya bersahaja.
Che Intan menolak kepala anaknya itu. Hingga terjatuh gadis itu ke lantai. Geram sungguh dia. Orang tanya betul-betul dia boleh jawab main-main pula.
Maya tersentak.
“Kenapa ni, mak? Maya salah apa?” soal Maya sendu.
“Hei Maya, bukan main sedap lagi kau makan semeja dengan Nashriq tadi. Kau sedar tak kau tu siapa? Sakit mata aku yang melihat ni tahu tak?!” tengking Che Intan.
Maya menggeleng kesal. Tak sangka isu dia makan semeja dengan Nashriq telah menaikkan darah emaknya sampai macam ni sekali.
“Maya makan aje dengan Encik Nashriq tadi. Itu pun dia yang ajak, salah ke mak?” soal Maya telus.
Mencerlung mata Che Intan merenung anaknya.
“Memanglah salah. Nanti kalau orang lain nampak, majikan makan dengan orang gaji. Nanti dia orang cakap apa pulak? Kau suka ke bila orang lain sibuk mengata emak tak pandai menjaga anak? Hah? Kau suka ke? Sedarlah diri tu sikit, Maya. Kita ni orang gaji aje kat sini. Janganlah kau berangan nak rapat-rapat dengan si Nashriq tu,” marah Che Intan.
Air mata disapu dengan hujung lengan baju kurung kedahnya itu. Sedih sangatlah konon gayanya tu.
Perlahan-lahan Maya menghampiri emaknya. Tangan emaknya digenggam erat.
“Emak, maafkan Maya. Maya janji Maya tak buat macam tu lagi. Maya janji Maya tak rapat lagi dengan Encik Nashriq lagi. Mak jangan sedih-sedih ya,” pujuk Maya.
“Berapa kali aku nak ingatkan kau? Kau lupa ke atau kau buat-buat lupa?” tengking emaknya lagi.
Maya menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia menyeka air matanya.
“Mak tak marah kau Maya kalau kau ada hati dengan si Nashriq, tapi tolonglah Maya. Tolonglah jangan tambah lagi beban di bahu mak. Mak dah tak larat nak tanggung caci maki orang. Kita ni orang susah, Maya, bukan orang senang. Sedarlah sikit diri tu, Maya. Ya Allah! Apa kata Tan sri dengan Puan sri nanti kalau mereka tahu anak emak ada hati dengan anak mereka tu? Malu mak tahu tak,” tangis Che Intan.
 Makin laju air mata palsunya mengalir. Tadi bukan main garang lagi, ni sedih pulak. Meraung tak tentu hala. Eh eh, lebih-lebih pulak orang tua ni.
Cakap ajelah, kau sebenarnya cemburu anak kau dapat makan semeja dengan bos kau. Apalah, dengan anak sendiri pun nak cemburu. Apa punya emak entah.
“Emak, janganlah cakap macam ni. Maya tak ada apa-apa perasaan pun dekat Encik Nashriq tu. Dia kan majikan kita. Takkanlah Maya boleh ada hati dengan dia, jangan merepeklah,” nafi Maya perlahan. Beria-ria dia meyakinkan emaknya itu.
Che Intan menjuihkan bibirnya. Menyampah betul aku mendengarnya. Macamlah aku tak tahu, kau tu yang terhegeh-hegeh nak dapatkan perhatian dari si Nashriq tu. Anak tak sedar dek untung! Menyesal aku menjaga kau dari kecil. Buat malu aku aje! Rengusnya geram.
 “Emak, dahlah. Jangan sedih-sedih lagi. Emak rehatlah ya, biar Maya sudahkan semua kerja kat dapur tu. Kesian Kak Biah buat sorang-sorang. Tak terkejar dia mak,” pujuk Maya.
“Maya, mak rasa kepala mak peninglah. Tolong urutkan sekejap,” pinta Che Intan dengan tiba-tiba sebelum merebahkan kepalanya ke bantal.
“Emak sakit ke? Kalau macam tu Maya pergi ambilkan nasi, mak makanlah dulu. Lepas tu, mak makan ubat ya,” ujar Maya dengan riak yang risau.
“Tak payahlah, aku suruh kau urut kepala aku. Bukan suruh kau ambil makanan. Bodoh betul kau ni,” herdik Che Intan. Ya Allah perempuan tua ni, apa masalah dia sebenarnya ya?
Maya hanya menurut. Lincah tangannya memicit dahi orang tua itu. Sesekali, menitis air matanya ke atas dahi emaknya itu. Sedih sungguh hatinya. Kerana status dan darjat, dia disisihkan sehingga sedemikian rupa.
Salahkah dia dilahirkan dari keluarga yang miskin? Beruntung sungguh jadi anak orang kaya kan. Tak payah susah-susah cari kerja. Tak payah pening-pening kepala nak fikir soal hidup. Tapi aku? Hanya kerana anak orang gaji, semuanya terbatas bagi aku. Bilalah agaknya nasib aku nak berubah.. Rintih Maya.
Che Intan membuka matanya. Dia berasa pelik tiba-tiba apabila ada air menitis di atas mukanya. Cepat-cepat ditepisnya tangan anaknya itu.
“Maya, kalau kau rasa terpaksa nak urut kepala mak ni, baik kau tak payah buat. Menyusahkan aje. Habis basah muka aku dengan air mata kau. Tak payahlah kau nak buat drama air mata pulak kat sini.
Kau nak menangis pasal apa? Patutnya kau kesian dekat aku ni, bukannya kesian dekat diri kau yang bodoh tu,” hambur Che Intan tanpa rasa kasihan.
Sanggup dia memanggil anaknya sendiri dengan panggilan bodoh. Tak patut sungguh.
“Maya bukan sedih pasal Maya mak. Maya kesian dengan mak. Sampai bila kita nak hidup menumpang macam ni. Mak tu bukan larat sangat dah, Maya risau kalau mak sakit,” tulus suara itu berkata.
“Habis tu, kau sedih sebab kau ingat aku dah nak mampos ke? Kalau aku mampos, senang sikit hidup kau kan. Tak adalah kau kena tolong aku buat kerja dekat rumah ni lagi, macam tu?!” tempik Che Intan.
Makin laju air mata yang menuruni pipi mulus Maya. Perkataan mampos yang baru keluar dari mulut emaknya itu seakan merentap jantungnya pergi.
Dengan pantas, tubuh wanita tua itu dirangkulnya erat.
“Emak… Mak jangan cakap macam ni. Maya dah tak ada sesiapa lagi kat dunia ni selain mak. Janganlah mak pergi dari hidup Maya,” ngongoi Maya di dada emaknya.
Berkerut dahi Che Intan mendengarnya. Dia menolak tubuh gadis itu kasar.
“Mak…” tangis Maya. Kabur matanya memandang wajah tua yang bengis itu.
“Woi, kau dah gila ke? Kau ingat aku dah nak mati sangat ke?” tengking wanita berhati batu itu. Kepala anaknya ditunjalkan beberapa kali. Maya menggelengkan kepalanya.
“Tak mak, Maya tak cakap macam tu. Maya tak nak mak mati. Mak janji jangan tinggalkan Maya ya?” pilu suara Maya merayu emaknya itu.
Tapi sayang, tidak berbekas sedikit pun di pendengaran wanita tua itu.
“Kau ni kenapa, Maya? Aku pening kepala aje. Yang kau menangis meraung macam orang gila ni kenapa?” marah Che Intan. Rimas dia melihat air mata yang sedari tadi mengalir di pipi gadis itu. Macam mendoakan dia cepat mati aje.
“Dah-dah, sapu air mata tu. Kalau kau tak nak aku cepat mati, dengar cakap aku ni. Jauhkan diri kau dari Nashriq. Lepas tu, jangan nak memandai-mandai buat muka tak malu menayang muka depan diorang sekeluarga.
Ingat, selagi aku tak suruh, kau jangan buat. Kalau kau pandai-pandai buat, tahulah aku nak mengajarnya. Memang sahlah kau tak sayang emak kau ni,” pesan Che Intan penuh dengan amaran.
Berderau darah Maya mendengarnya. Cepat-cepat disapunya air mata dengan belakang lengannya.
“Baik, mak. Maya janji, Maya ikut semua cakap mak,” balas Maya bersungguh-sungguh.
Tak sampai hati rasanya melihat wajah tua itu dirundung pilu selalu. Maya tidak mahu emaknya dihina dan dicaci oleh orang lain.

Mulai dari saat ini, dia mesti meletakkan satu benteng di antara dia dan Nashriq. Dan yang paling penting, cintanya juga harus dikuburkan dengan segera. Ya, pasti! Tekad Maya.