Friday, 1 November 2013

Cintaku Bukan Untuk Dijual - Bab 1

MAYA menyelak kertas itu satu-persatu. Berkerut-kerut dahinya memikirkan jawapan. Sesekali matanya meliar ke kiri dan kanan. Bertambah risau hatinya melihat jarum jam yang semakin menghampiri angka dua belas.
Aduh, apa punya soalan ni. Kenapa apa yang aku study dua minit sebelum tidur semalam tak masuk pun? Hish, dorang salah buat soalan ni kot. Inilah padahnya study last minute. Apa nak buat ni ya? Bisik Maya dalam hati.
Laju tangannya menulis jawapan. Gayanya seperti pelajar yang paling genius aje. Apa tidaknya, dalam masa sepuluh minit semua ruang kosong tadi dah diisi dengan jawapan. Jawapan yang bagaimana? Sendiri mau ingatlah. Yes! Akhirnya, berjaya juga aku siapkan! Gembiranya tak terkata. Lebar sungguh senyumannya, sehingga ke telinga.
Sekarang bolehlah kau gelak puas-puas Maya. Nanti bila result dah keluar, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah. Suka-suka hati dia aje main bantai isi jawapan. Kalau jawapan tu ada bersangkut-paut tak apalah juga, ini tidak.
Alahai Maya, sabar ajelah..
Maya keluar dari dewan peperiksaan dengan bangganya. Dia mencapai beg sekolah dan botol air. Laju langkahnya diayun keluar dari pagar sekolah.
“Woi Maya! Tunggulah!” jerit seorang gadis.
Maya berpaling. Dia melihat Munira  yang  tercungap-tercungap menghampirinya.
“Apa? Aku dah lambat ni. Mak aku bising karang,” balasnya.
Dia menyapu keringat yang membasahi pipinya.
“Tunggulah kejap. Bagilah aku bernafas dulu, laju gila kau jalan tau tak! Penat aku kejar,” balas Munira sambil mengurut-urut dadanya yang kekurangan oksigen.
Maya mengeluh.
Leceh betullah. Kalau aku tahu tadi, aku lari aje terus. Tak payah berhenti. Biar si gedempol ni tak dapat kejar. Hehehe, sempat lagi hatinya mengutuk.
“Iyelah, kita jalan perlahan-lahan ya. Kita jalan macam ni,” ujar Maya sambil berjalan ala-ala model buat catwalk.
Munira mencebik. Maya sudah beberapa tapak ke hadapan meninggalkan Munira.
“Aduh Maya ni. Main-mainlah,” dengus Munira. Dia mengejar langkah Maya.
“Maya, ni aku nak tanya kau. Cepat gila kau jawab soalan tadi tu kan. Aku tengok kau siap boleh relaks lagi, sambil senyum-senyum pulak tu. Senang eh soalan tadi, Maya?” soal Munira.
Maya buat tidak tahu sahaja. Kalaulah kau tahu Nira, jawapan apa yang aku tulis tadi. Mesti kau tabik spring dekat aku. Aku aje satu-satunya pelajar yang berani buat jawapan macam tu, bisik Maya sampai termuncung-muncung mulutnya menahan tawa.
Munira memandang Maya pelik. Maya menghentikan langkahnya.
“Apasal kau pandang aku macam tu? Laa, memang soalan tu senang pun. Sebab tu aku siap cepat. Semua jawapan aku tibai,” balas Maya selamba sambil meneruskan langkahnya semula.
“Oh... Patutlah,” ujar Munira sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
Selepas beberapa saat, baru terlopong luas mulutnya. Kalau disumbat kuali yang digunakan oleh Maya untuk menggoreng ikan masin hari-hari, mesti muat dalam mulut Munira tu. Besar betul lopongnya.
“Hah?! Kau hentam aje semua jawapan, Maya?” jerit Munira.
Maya mengangguk.
“Ya Allah Maya, kau jawab SPM main-main aje kan? Hish... Kau tak kesian ke dekat mak kau. Kau aje harapan dia. Sampai hati kau buat macam ni, Maya,” bebel Munira tanpa henti.
Maya mengangkat keningnya.
“Yang kau lebih-lebih emosional dari mak aku ni kenapa? Relaxlah,” balasnya selamba. Tidak ada langsung riak risau terukir di wajahnya.
“Kau boleh relax lagi ya, Maya? Tak faham betul aku,” ujar Munira. Kepalanya tak henti-henti digelengkan sedari tadi. Dah macam pendekar bujang lapok aje gayanya.
“Iyelah, dah aku memang tak tahu jawapan dia. Kau macam lah tak tahu aku, kalau bab mengira ni memang aku lemah sikit,” dengan penuh gaya Maya bercerita. Siap tangannya diangkat-angkat sekali. Punyalah bersemangat.
“Iyelah, tak apalah Maya, aku doakan kau dapat keputusan dengan cemerlang,” ujar Munira sambil tangannya ditadah dan kemudian diaminkan. Amboi, bukan main lagi dia mendoakan result orang lain, macamlah dia tu dah konfem-konfem straight A. Macam-macamlah diorang ni.
Langkah Maya terhenti tatkala matanya terpandang akan sebuah kereta mewah yang berhenti di hadapannya.
Nashriq Irfan... Bisik hatinya.
Munira yang riuh bercerita di belakang Maya turut termati langkahnya. Bedebuk! Habis dilanggarnya tubuh Maya yang sekeping macam papan playwood itu. Maya mengaduh kesakitan.
“Woi Nira! Badan kau dahlah macam tong, yang kau pergi langgar aku buat apa?! Sakit tahu tak,” tempiknya.
Terus dia sound badan kawannya yang macam tong tu. Munira yang sedang meraba-raba hidungnya yang penyet akibat terlanggar kepala Maya yang keras macam bola golf itu berdengus kasar.
“Kau tu yang berhenti tengah jalan ni buat apa? Sakit hidung aku langgar kepala batu kau tu tahu tak!” hamburnya.
 Memang kenalah dua orang ni bersahabat. Mulut laser. Kepala batu yang dimaksudkan oleh Munira tu ada dua maksud. Yang pertama, memang betul Maya ni kepala batu, atau lebih tepat lagi degil yang teramat sangat.
Maya menggosok-gosok kepalanya yang sakit. Dia menjeling Munira. Pandangannya dihalakan semula ke arah lelaki tadi. Maya tergamam apabila lelaki itu berdiri betul-betul di hadapannya.
“Err.. Err.. Encik..Nashriq,” tergagap-gagap dia menghabiskan ayatnya.
Kaca mata dibuka. Terpaku Maya seketika melihat sepasang mata coklat milik lelaki itu.
“Kenapa ni, Maya?” garau suara lelaki itu menyapa telinga Maya.
Maya yang mendengarnya serasa mahu pengsan. Mana tidaknya, lelaki yang dipuja-pujanya dalam diam menegurnya begitu.
“Err... Tak ada apa, Encik Nashriq. Ni hah kawan Maya ni, riuh sangat bercerita sampai tak sedar terpijak lubang tu,” balas Maya sambil memuncungkan mulutnya ke arah jalan.
Munira yang mendengarnya berasa hairan. Mana datang lubangnya dekat tengah-tengah jalan ni? Nashriq hanya mengangguk walaupun dia tercari-cari juga lubang mana yang dimaksudkan oleh Maya.
“Hmm, Maya. Kau nak tumpang balik sekali ke? Jomlah,” pelawa Nashriq. Spec hitam dipakai kembali. Cover macholah katakan...
“Eh, takpelah Encik Nashriq, Maya boleh balik jalan kaki aje. Lagipun, tak jauh, berapa tapak aje dah sampai,” tolak Maya lembut.
“Betul ni?” soal Nashriq.
“Betul Encik Nashriq,” balas Maya sopan.
Nashriq mengangguk.
“Encik Nashriq dari mana ni?” soalnya lagi.
“Aku dari mana itu bukan urusan kau. Tadi umi call suruh jemput kau sekali. Dia kata kau last paper SPM hari ni,” terang Nashriq sambil lewa.
“Oh, terima kasih Encik Nashriq sebab sudi berhenti kat sini. Tapi, tak apalah, Maya boleh balik sendiri, dengan kawan Maya ni,” balas Maya lembut.
“Okey, baguslah kalau macam tu. Nanti kalau umi tanya kenapa kita tak balik sekali, kau bagitahulah ya. Jangan cakap aku tak datang jemput pula, padahal kau yang menolak,” ujar Nashriq.
Tersentak Maya mendengar sindiran itu. Dia hanya menganggukkan kepalanya.
 Nashriq berlalu ke kereta. Tidak lepas-lepas mata Maya memerhatikan kereta itu sehingga hilang dari pandangan matanya.
“Woi, Maya!” tepuk Munira.
“Woi, mak kau ayam katik oh ayam..” latah Maya.
Tergelak-gelak Munira yang mendengarnya. Muka cun, tapi melatah. Tak boleh blah langsung minah ni.
“Amboi kau, tengok Nashriq tu macam nak tercabut-cabut biji mata. Pandang sikit-sikit cukuplah,” sindir Munira.
Maya mencebik. Dia meneruskan langkah.
“Sudahlah, malas aku layan kau. Disebabkan kaulah, jatuh saham aku depan dia tadi tau. Nasib baik aku pandai cover,” bebel Maya.
“Maya, kau suka dia eh?” soal Munira sambil tersenyum-senyum kambing.
Maya menoleh.
“Mana ada!” nafinya.
“Eleh, tak payah tipulah. Aku dah lama kawan dengan kau. Aku tahulah, dari form 1 lagi kau syok dekat dia kan. Tapi kau pendam, kau malu nak bagitahu sebab mak kau kan orang gaji aje kat rumah dia tu,” bicara Munira selamba. Sedikit sebanyak kata-katanya menghiris hati Maya.
“Apa maksud kau? Orang macam aku ni tak layak ke kawan dengan Encik Nashriq tu?” soal Maya. Lirih suaranya bertanya.
“Tak adalah. Aku bukan apa, dia dah perli kau macam tu. Tapi kau still lagi buat muka tak malu senyum-senyum kat dia. Kau betul-betul suka ke dengan Nashriq tu? Kau jangan Maya. Kau kena sedar diri tu, kau tu anak orang gaji, padahal dia anak orang kaya. Kan tak kena tu,” bebel Munira panjang lebar.
“Aku sedar... Aku ni orang miskin. Tu maksud kau kan,” balas Maya perlahan.
“Laa Maya, janganlah terasa. Bukan macam tu maksud aku... aku cakap...” belum sempat Munira meneruskan bicaranya, Maya memotong.
“Iyelah Nira, aku sedar aku ni anak orang gaji aje. Tak layak nak berdamping dengan anak orang kaya macam dia tu. Kau jangan risau, tahulah aku,” balas Maya perlahan. Sendu suaranya.
Munira menepuk dahinya.
“Maya, maksud aku bukan macam tu. Janganlah marah. Aku gurau ajela tadi, tak ada niat pun nak kata kau ni anak orang gaji ke apa,” balas Munira. Dia memegang bahu sahabatnya. Maya menarik nafas panjang sebelum berpaling ke arah Munira dan tersenyum.
“Hishh, kau ni. Mana ada aku marah. Kecik punya hal. Jomlah balik, perut aku dah lapar. Petang ni aku kena tolong mak aku sebab malam nanti keluarga Encik Nashriq ada buat kenduri doa selamat sikit. Kau jangan lupa datang nanti ya!” kata Maya.
Mukanya sengaja diceriakan. Walhal hatinya, tuhan sahaja yang tahu. Dia menarik lengan Munira.Munira hanya tersenyum hambar. Dia hanya mengangguk dan menurut langkah Maya.
Dia tahu Maya terasa hati. Tetapi gadis itu pandai menyembunyikan perasaannya. Dan dia juga tahu apa sebab Maya menolak pelawaan Nashriq tadi. Dia tidak mahu kawan-kawan sekolahnya nampak dan tuduh yang bukan-bukan tentang dirinya.
Maya sedar kedudukannya, pipit mana boleh terbang sekali dengan enggang? Dan kerana itu jugalah, Maya memendam perasaannya terhadap Nashriq.
Baginya, cintanya ini macam dalam cerita dongeng. Mana mungkin gadis miskin boleh bercinta dengan orang kaya.
Hai Maya..
Kolot sungguh pemikirannya. Tak apa Maya, ada jodoh tak ke mana. Tuhan itu kan Maha Mengetahui..


“Maya! Mana baju yang aku suruh kau gosok tadi? Dah siap ke belum?!” kasar sungguh bahasa gadis itu. Terkocoh-kocoh Maya keluar dari bilik belakang dan menghampiri gadis yang serupa singa betina itu. Mencerlung mata Yusra merenung Maya dari atas ke bawah.
“Ni bajunya, Cik Yusra,” balas Maya mendatar.  Langsung tidak dipandangnya wajah singa betina di hadapannya sambil tangannya menghulur baju yang telah siap digosok.
“Eiii, bodohlah kau ni! Kan aku suruh hantar baju ni ke atas. Kau saje aje nak susahkan aku turun naik tangga tu kan?! Memang dasar lembablah kau ni Maya,” tengking Yusra. Jarinya menunjal kepala Maya.
Serta merta darah Maya menggelegak sehingga 100 darjah celcius.
“Hei perempuan! Aku gosok baju kau tu pun dah kira baik tahu tak? Ni nak marah-marah tak tentu hala ni kenapa? Aku dah naik tadi tapi pintu kau berkunci, aku turunlah balik!”
Amboi, mulut Maya ni pun boleh tahan juga. Elok sangatlah tu buku dah bertemu dengan ruas.
“Kurang ajar punya perempuan! Kau sedar tak kau tu siapa dalam rumah ni?! Hah?!” herdikYusra.Tangannya sudah diangkat untuk menampar Maya.
“Yusra!” tempik Nashriq.
Yusra terpana. Belum sempat dia menampar Maya, lengannya telah digenggam kuat oleh Nashriq.
“Kau dah gila ke nak tampar-tampar orang ni?” herdik Nashriq. Maya tersenyum sinis di belakang Nashriq. Merah padam muka Yusra. Tentunya menahan geram yang teramat sangat.
“Suka hati akulah! Dia ni orang gaji aje. Yang kau nak bela dia sangat kenapa?” balas Yusra kasar.
Maya melangkah setapak ke belakang. Suasana sudah semakin tegang.
“Encik Nashriq, Maya yang salah. Janganlah marah Cik Yusra ya,” bicara Maya perlahan cuba meredakan keadaan. Yusra mencebik.
“Woi, tak payah nak berlagak baik pulak kat sini! Menyampah aku dengar tahu tak,” tempelak Yusra.
Nashriq tersenyum sinis.
“Kalau dia orang gaji pun, dia tetap manusia biasa. Ada hati, ada perasaan. Aku tuan punya rumah ni pun tak pernah nak tengking dia macam tu tau,” marah Nashriq.
Yusra hanya mencebik apabila disindir sebegitu. Mulutnya dijuihkan tanda mengejek percakapan Nashriq itu.
Apalah nak jadi dengan sepupunya yang sorang ni. Dahlah baju tak cukup kain. Tak pernah langsung nak pakai baju longgar sikit, semuanya ketat macam sarung nangka. Muka tu pulak bertempek-tempek bedak mengalahkan bintang opera cina.
“Maafkan Maya, Cik Yusra. Maya janji Maya takkan buat Cik Yusra marah lagi. Apa yang Cik Yusra suruh Maya buat, Maya akan buat dengan segera,” tutur Maya tetapi dalam nada seperti mengejek. Sambil kepalanya diangguk-anggukkan sekali.
“Huh, sudahlah. Sekarang depan bos kau, barulah kau nak tunjuk baik. Takutlah tu, padahal kat belakang dia,  bukan main lagi kau kan,” bicara Yusra selamba tanpa menghiraukan teguran Nashriq sebentar tadi.
Maya tersentak.
“Kau ni dah kenapa, Yusra?” soal Nashriq sambil berkerut. Matanya dihalakan ke arah Maya. 
Yusra melemparkan baju yang siap digosok itu ke wajah Maya. Terkejut Maya dibuatnya.
“Kalau kau nak tau, dia ni pemalas. Dari tadi aku nampak dia duduk berlingkar aje atas katil bilik dia tu baca novel. Hishh, dahlah bodoh. Orang lain sibuk study kau sibuk baca novel kan. Patutlah bengap!” hambur Yusra.
“Hoi bodoh, sekarang kau ambik baju aku ni, kau gosok semula. Aku tak nak tengok ada satu kedutan pun. Faham?”
Maya hanya berdiri tegak di sisi Nashriq. Dia cuba menahan api kemarahannya dari meletus. Ini sudah lebih! Kalau diikutkan hati, mahu aje  diganyang-ganyang perempuan mulut celopar ni. Baru puas hatinya.
Nashriq menggelengkan kepalanya. Pening melihat kerenah sepupunya itu.
“Yus, dahlah tu. Untuk pengetahuan kau, Maya tu bukan orang gaji dekat rumah ni. Dia duduk sini sebab mak dia kerja dekat sini. So, kalau ada apa-apa mintak aje tolong dari Kak Biah. Bukan dari Maya ni. Kat rumah ni ada ramai orang gajilah Yus, yang kau sibuk nak suruh-suruh Maya ni buat apa? Tak faham betullah,” bebel Nashriq.
“Hei, suka hati akulah nak suruh siapa pun. Dah mak dia orang gaji, anak pun orang gajilah. Takkan anak dia nak jadi tuan puteri pulak dalam rumah ni! Maya, sedar sikit diri kau tu. Jangan kau mimpilah  nak bersenang–lenang dalam rumah ni. Sedar sikit yang kau tu anak orang gaji aje. So, apa aku suruh kau buat, kau mesti buat, faham?!” tengking Yusra.
Maya hanya mengangguk. Dia tidak mahu melawan apabila berhadapan dengan Nashriq. Namun, status orang gaji yang baru keluar dari mulut sepupu majikannya itu betul-betul menghancur lumatkan hati Maya.
Orang gaji! Ya orang gaji. Terlalu hinakah pekerjaan itu? Salahkah emaknya mencari rezeki hanya dengan menjadi orang gaji? Salahkah?
Nashriq memandang wajah Maya. Keruh sekali wajah mulus itu.
“Dahlah Yus, nanti umi dengar bising-bising macam ni, tak eloklah. Pergilah naik, tak lama lagi orang masjid datang. Oh ya, pakailah elok sikit. Malam ni kenduri doa selamat, bukannya birthday party,” sindir Nashriq bersahaja. Sengaja dia ingin mengenakan sepupunya itu.
Yusra mendengus kasar. Dia berlalu dari situ. Bahu Maya dilanggarnya kuat tanda protes dengan sindiran Nashriq tadi. Maya meraba bahunya yang sakit. Sabar Maya! Desis hatinya.
Nashriq hanya menggeleng perlahan.
“Dahlah Maya, bagi aje baju ni pada Kak Biah, pergi sambung kerja kau balik. Jangan layan sangat  Yusra tu. Dia tu otak tak betul sikit,” ujar Nashriq.
“Tak apa Encik Nashriq, biar Maya aje yang gosok baju ni. Kak Biah sibuk tu. Kasihan dia. Maya pergi dulu ya,” balas Maya sopan.
Nashriq hanya mengangguk.
Maya tersenyum sebelum berlalu ke biliknya. Renungan lelaki itu meresahkan jiwanya. Lebih baik dia beredar sebelum dia pengsan kat sini nanti.
Bukan apa, orang dah jatuh cinta. Bila dah berdekatan, perasaannya jadi tidak tentu arah. Tapi, sayangnya cinta Maya hanya bertepuk sebelah tangan.
Kasihan kau Maya. Agak-agaknya, bilalah kisah dongeng ni akan jadi kenyataan ya?

No comments:

Post a Comment